12 September 2009

Tepat jam 6 pagi, aku mendapat satu panggilan dari Akmal. Sudah lama tiada orang menelefonku seawal pagi ini. Aku terus menjawab panggilan kerna menjangkakan ada hal penting yang mahu diberitahunya.

” Hello, assalamualaikum”. Aku menjawab dengan suara yang sedikit serak.

” Waalaikumsalam. Wow, seksinya suara awak! Dah lama saya tak dengar suara seksi awak ni. ”

Ke situ pulak Mr Sudu ni. Aku terus terbatuk-batuk kecil agar tidak ketara suara aku berbanding biasa.

” Bisinglah awak ni. Awak call saya pagi-pagi buta ni kenapa ? ”.

” Awak tahu tak Subuh dah masuk dah ni? Tak baik tau melengah-lengahkan solat. Nanti bila dah kahwin, suami awak yang hensem ni jugak yang kena tanggung dosa kalau tak ingatkan awak ”. Akmal menjawab.


’Aduh! Kan dah kena ceramah free hari ni.’ Aku berkata dalam hati. Sebenarnya aku bukanlah seorang yang suka bangun lewat tetapi memandangkan aku uzur hari ini apa salahnya aku bangun lewat sedikit dari biasa. Tapi takkanlah aku perlu memberitahu benda sebegitu kepada Akmal. Aku tak pernah berkongsi perkara macam ini dengan lelaki.

” Yelah-yelah. Saya dah bangun ni. Nak masuk toilet dah pun. Nanti saya telefon awak ”. Aku terus meletakkan panggilan dan menyambung tidurku yang tergendala tadi.

Tidak beberapa lama kemudian telefonku kembali berbunyi nyaring. Aku terus menekan butang merah untuk menamatkan panggilan. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi.

’Mengganggu sungguhlah Mr Sudu ni.’

Aku terus bangun menuju ke bilik air untuk mandi, rasa ingin tidurku sudah terganggu oleh Akmal. Usai mandi dan berpakaian aku menuju ke dapur. Nisa masih belum keluar dari biliknya, mungkin masih tidur kerana kedua-dua kami masuk syif pukul 9 hari ini. Namun aku terpaksa pulang sendirian lebih awal petang nanti kerana Nisa bercadang untuk menyambung syifnya hingga ke malam hari ini.

Aku berura-ura untuk menggoreng nasi pagi ini. Terus aku mengeluarkan ayam dari peti ais dan mula memotongnya. Kemudian aku memotong bawang dan sayuran lain. Selalunya Nisa yang akan menyediakan bahan-bahan kerana dia kurang cekap untuk memasak. Tetapi lambat pula dia bangun hari ini. Aku menggoreng nasi dari lebihan semalam bersama bahan-bahan yang aku potong tadi. Kemudian aku menjerang air panas dan membancuh air nescafe. Siap!

Tiba-tiba aku terdengar bunyi loceng. Aku terus ke ruang tamu untuk membuka pintu. Terkejut aku melihat tetamu tak diundang tersebut. Akmal? Akmal muncul bersama senyumannya. Senyum memanjang Mr Sudu ni!

” Hah, kenapa awak datang pagi-pagi ni? Kita takde janji nak keluar pun kan? ”.

” Saya ingatkan awak tak bangun lagi. Itu yang saya datang tu nak masuk kejutkan awak dalam bilik. Saya call pun tak angkat-angkat ”. Jawab Akmal.

” Ish, awak ni sibuk lah. Saya dah bangun lah. Dah siap mandi dah pun. ”

” Haa, baguslah. Mesti dah siap masak kan? Boleh lah kita makan sekali. Saya pun nak rasa masakan bini saya jugak”. Akmal terus masuk ke dalam rumahku.

’Ingat rumah aku ni restoran ke? Sesuka hati je masuk makan.’ Aku bermonolog.

Namun aku tidak berasa risau sangat kerana Nisa sudah pun bangun mandi tadi. Jikalau Akmal mahu melakukan hal tidak senonoh pasti Nisa ada untuk membantuku.

Akmal terus menuju ke pintu dapur. Setibanya di pintu dapur, sempat dia menoleh ke arah bilikku yang bersepah.

” Erm, mana satu dapur ni? Yang bersepah tu ke ? ”. Tanya Akmal sambil menunjuk ke arah bilikku.

’Kurang asam betul! Kenapalah aku boleh terlupa nak kemas tadi.’

” Sejak bila ada katil dalam dapur cik abang oi? Itu bilik storlah. ” Malu pula aku nak mengaku bilik aku.

” Eleh, yela tu. Dah terpampang ada nama awak kat pintu tu. Awak nak tipu saya lagi? ”. Akmal menjawab. Memang ada tertulis namaku di situ. Nisa juga mempunyai papan namanya sendiri di pintu biliknya.

Akmal terus masuk ke dapur dan menyuakan teko nescafe yang kubancuh tadi. Dia pula mencedok nasi kedalam bekas nasi dan mengusung keluar nasi berserta 2 biji pinggan dan sudu. Sudu?

” Eh, awak nak ke mana bawa nasi-nasi ni? ”. Dia tidak menjawab pertanyaanku. Namun aku mengikutinya jua hingga ke luar.

’Oh, dia mahu makan di luar rumahku rupanya.’ Aku bermonolog dalam hati. Di situ terdapat meja dan kerusi rehat peninggalan tuan rumah semasa mereka menduduki rumah ini ketika dahulu.

Akmal meletakkan nasi tadi di atas meja. Aku turut meletakkan teko nescafe.

” Rumah awak ni rumah anak dara. Nisa pula saya tak nampak pun dari tadi. Kang kalau makan di dalam tak pasal-pasal kena tangkap. Lainlah kalau awak nak mempercepatkan hari nikah kita. Saya memang setuju sangat-sangat kalau macam tu. ” Akmal berkata sambil mula mengangkat bekas nasi untuk ke dapur semula.

” Hah, tak payah nak mengada! Duk situ diam-diam ”. Pantasku mengambil semula bekas nasi dan mencedok nasi ke dalam pinggan-pinggan yang diusung keluar oleh Akmal tadi. Aku terus menyua kepada Akmal.

” Hah, apa lagi? Makanlah. Tadi kelam kabut sangat nak makan. ” Arahku. Aku baru hendak menyuap nasi ke dalam mulutku dan tiba-tiba Akmal menjerit.

” Awak, stop!!” . Terus terhenti suapan ke mulutku.

” Awak ni apahal haa? Buat orang terkejut pulak pagi-pagi ni? ”. Marahku terhadap Akmal. Pagi-pagi dah buat onar. Selamat tak tersembur nasi keluar tadi.

” Awak tahu tak, saya nampak ramai sangat kawan awak sekarang ni”. Jawab Akmal.

” Kawan? Merepeklah awak ni. Mana ada sesiapa pun kat sini. ” Musykil aku berada bersama Akmal sekarang ini.

” Betul. Ada yang bertanduk dua, ada yang bergigi taring. Semuanya kat sekeliling awak duk tunggu awak suap nasi kat diorang ”. Jawab Akmal sambil tersengih-sengih.

Terusku menoleh ke kiri kananku. Kemudian atas dan bawah. Akmal ni berpenyakit agaknya. Boleh nampak benda yang mata kasar tak nampak.

” Merepeklah awak ni. Dahlah, cepat-cepatlah makan. Pastu awak balik cepat sikit”. Risau pula aku. Entah-entah memang ada ’sesuatu’ berdekatan denganku.

” Haa, dah takut la tu. Meh saya bagi tips macam mana awak nak nampak benda-benda tu. ”

” Hah, tak payah! Baik awak bagi tips macam mana nak bagi benda tu pergi jauh dari saya ” . Risau pula aku kalau betul benda tu berada di sini. Entah-entah Akmal yang berada di depanku pun ’benda’ itu jugak ke. Haish, jangan!

” Macam ni nak caranya nak bagi hilang. Mula-mula awak angkat dua-dua belah tangan awak ke atas. Bagi telapak tangan menghadap ke arah kita. ” Aku mengikut sahaja saranan Akmal. Manalah tahu dia memang pandai bab-bab menghalau ’benda’ itu.

” Lepas itu, awak bawa turun tangan awak hingga bertentangan dengan muka awak. Tangan awak tu rapatkan sedikit. ”. Aku sudah mula merasa sesuatu. Akmal mahu mempermainkan aku ni.

” Ni macam nak baca doa je! Awak ni betul-betul lah ! ”. Marahku terhadap Akmal.

” Memang saya nak suruh awak baca doa pun! Walau lapar macam mana pun, doa mesti diutamakan. Kalau awak tak baca doa, ’kawan’ awak pun datanglah. ”
Akmal menjawab sambil tersenyum.

” Eh, saya bacalah doa tadi. Saya baca dalam hati. Suka hati je awak tuduh saya. Keikhlasan itu penting tau. Ibarat seekor semut hitam berjalan di atas batu hitam pada malam yang hitam gelap. Bukan macam awak, menunjuk-nunjuk je lebih!”. Aku menghamburkan marah terhadap Akmal.

” Ops, sorry sayang. Saya ingat awak terlupa tadi. Hehe, tunggu saya baca doa jap ye. Pastu kita makan. ”. Pinta Akmal sambil mula mengangkat tangan membaca doa. Aku juga turut sama-sama mengaminkannya. Kami sama-sama menjamah masakanku.

” Wah, sedapnya nasi goreng awak ni. Dah lama saya tak makan nasi sesedap ni. Awak ni food technologist ke chef? Sampai saya pun dah naik konpius”. Akmal memujiku.

Aku turut merasa masakanku.
’Takdelah sedap mana pun. Semangat je Akmal ni puji aku. Nak ambil hati aku la tu’. Monologku dalam hati.

” Yelah tu. tak payahlah awak nak ambil hati saya. Saya takkan percaya dah kat awak.”

” Tak nak lah saya ambil hati awak. Awak dah lama dah bagi hati awak tu kat saya. Dari 2 tahun lepas lagi. Dan sampai sekarang saya tahu hati awak itu masih dekat saya kan? ”. Tanya Akmal sambil mengjungkit-jungkit keningnya.

” Perasan! Tak hingin saya!. ” Malas aku nak melayan Akmal sekarang ini. Ada sahaja ayat yang keluar darinya yang mampu membuatku cair.

Tiba-tiba....

” Hah! di sini rupanya anda-anda. Makan pun tak jemput aku ye!”. Nisa muncul sambil terus berlari ke dapur. Dia keluar semula sambil mengusung pinggan berisi nasi goreng dan terus duduk di kerusi sebelahku.

” Bukan tak nak jemput, kau tu yang bangun lambat. Hah, makanlah. Jangan lupa baca doa ye! ”. Jemputku sambil memerli Akmal.

” Alah, Nisa! Kacaulah kau ni. Aku nak berdua-duaan dengan Farah pun tak boleh. Pergilah keluar makan dengan Aidil ke. ”. Bentak Akmal sambil membuat muka.

” Hah, jangan disebutlah nama dia tu! Aku tak suka lah. Kau tahu Farah, ada cleaner minat kat dia pulak kali ni! Tensen aku! Ramai sangat peminat”. Jawab Nisa sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya.

” Habis tu, kau nak pergi buat lawatan mengejut pulak ke?”. Tanyaku kepada Nisa. Namun belum sempat Nisa menjawab tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depan rumah kami. Aidil muncul keluar dari kereta tersebut. Terus dia menuju ke arah Nisa.

” Aidil, kau pun datang jugak? Eh, aku dengan Nisa ada buat rumah terbuka ke hari ni? ”. Terus kubertanya kepada Aidil.

Namun dia tidak menjawab pertanyaanku. Aku lihat dia lebih sibuk memujuk Nisa. Aku lihat Nisa tidak menghiraukannya. Akmal pula lebih selesa memerhatikan mereka.

” Eh, korang ni bergaduh lagi ke? ”. Namun tidak terkeluar pertanyaanku apabila Akmal menggamitku dengan niat untuk berbisik.

” Shhh! Jangan kacau laki bini bergaduh. Nanti okeylah tu. Aidil kan pandai pujuk. Saya rasa saya balik dululah, takut penyakit gaduh diorang berjangkit pulak dekat kita. Petang ni kita awak habis pukul 5 kan? Saya jemput awak ye. Nisa kerja malam kan? ”. Tanya Akmal sedikit berbisik.

” Aik, mana awak tahu saya habis awal petang ni? ”. Aku juga menjawab sedikit berbisik.

Tiba-tiba Nisa menyampuk, ” Dia call aku semalam. Tanya duty kau esok. Nanti balik dengan dia lah. Kang kau tertidur dalam bas pulak kalau balik sorang-sorang ”. Nisa menjawab lalu menyambung kembali ’perang’nya dengan Aidil.

’Eh, sempat pulak minah ni menyampuk! Tak khusyuk rupanya dia bergaduh dengan Aidil.’

Akmal terus tersenyum melihat kerenah Nisa.“ So, saya jemput awaklah petang ni?’’.

“Hurm, yelah. Tapi singgah Tesco jap. Saya ada nak beli barang dapur sikit. Hah, apa tunggu lagi? Baliklah, saya nak siap pergi kerja pulak ni”. Jawabku. Bagus juga dia nak jemput. Tak payahlah aku nak naik bas. Kalau naik bas memakan masa yang lama. Nak tertidur lagi.

” Amboi, halau cek nampak! Okeylah, I balik dulu ye. Nanti pukul 5 I tunggu di parking dekat kilang U. Bye”.
Jawab Akmal sambil melayangkan flying kiss buatku.

” Ah! Tak payah nak buat mengada-ngada buat cara western dengan saya. I sepak kang ”. Aku terus melangkah masuk ke dalam rumahku. Terdengar Akmal ketawa sambil melangkah menuju ke keretanya.

” Eh, korang punya problem tak settle lagi ke?”. Tanyaku kepada Aidil dan Nisa. Aku lihat Aidil pula yang bermasam muka ketika ini.

” Jap, dah nak okey dah ni. Aidil pula merajuk! Kau siap lah dulu. ” Jawab Nisa. Aku terus masuk ke bilikku dan bersiap-siap untuk ke tempat kerjaku. Pandai-pandailah mereka selesaikan!

Aku dan Nisa sama-sama pergi ke tempat kerja setengah jam kemudian. Aku bekerja seperti biasa hari ni. Sepanjang hari, aku asyik teringat akan layanan romantis Akmal 2 3 hari lepas. Semakin hari aku berasa layananku semakin baik terhadap Akmal.

’Ish, bahaya ni. Tak boleh baik sangat ni! Dia bukan milikku. Tunangnya dulu tu nak campak mana? ’ Monologku dalam hati.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku menunggu Akmal di kawasan parkir 10 minit lebih awal memandangkan kerjaku sudah selesai. Namun kelibat Akmal belum tiba. Aku mengambil kesempatan menelefon rumahku. Terusku dail nombor rumahku. Abah menjawab telefon. Sudah lama aku tidak mendengar suara abah. Baik aku bergurau kejap.

” Hello, assalamualaikum. Encik Mustafa ke tu? Tahniah, encik telah terpilih untuk memenangi hadiah percutian ke Hatyai! ”. Sengaja aku bergurau dengan menyamar untuk mempermainkan abahku. Suara juga turut kuubah sedikit.

” Waalaikumsalam. Oh yeke! Terharulah saya. Hatyai tu kat mana ye?”. Kurang pengetahuan geografi rupanya abahku ni. Namun aku tersenyum kerana perangkapku mengena.

” Oh, encik Mustafa tak tahu ke? Hatyai tu dekat Thailand. “ Aku menjawab sambil menahan ketawa.

“ Oh yeke? Saya ingat dekat Petaling Jaya. Dekat dengan rumah sewa anak saya yang pemalas nak bersih bilik tu! ”. Jawab abahku.

’Aduh! Terkantoi juga dengan abahku. Perangkapku tak mengena kali ni.’

” Ala, macam mana abah boleh kenal Farah ni? ”

” Mestilah, Farah kan anak abah. Takkan abah tak cam suara Farah pulak. Kenapa telefon ni? Jangan risau, abah sihat je.”

“ Hehe, dah tahu dah. Suara pun ceria je. Bini abah pergi mana? “. Tanyaku kepada abah.

” Bini abah??? Oh, mak kamu ye. Dia pergi rumah Cik Wan. Pergi tengok baju nikah kamu dan uruskan sekali barang hantaran nanti. Busy betul mak kamu tu. Selamatlah kamu tak bersanding sekali masa hari nikah nanti. Kalau tak, tidur soranglah abah malam-malam. Mesti lagi busy mak kamu tu. Hah, kamu sihat ? Lupa pulak nak tanya.” tanya abah sambil sedikit tergelak.

” Farah sihat je abah. Farah dah ambil cuti 14 sampai 20 hari bulan ni. Tapi 15 baru Farah balik. Okeylah abah, nanti Farah telefon lain. Kirim salam kat bini abah tau. Hehe, bye. Assalamualaikum ”. Aku meletak panggilan setelah mendengar abah menjawab salamku.

Ketika itu kulihat Akmal sudah tiba bersama Myvi hijaunya. Keretanya diparkir agak jauh. Aku terus berjalan ke arah Akmal dan berdiri di sampingnya. Akmal memang seorang yang tinggi. Kalau bercakap dengannya, aku terpaksa mendongak sedikit ke atas. Wajahnya agak tampan manakala kulitnya jauh lebih cerah dari ku. Ternyata dia memang menepati ciri-ciri jejaka idaman wanita. Namun itu bukanlah bererti aku juga meminatinya. Bukankah dia sudah bertunang dan aku terpaksa berkahwin dengannya?

” Haa, bergayut dengan sapa tadi haa? Saya tengok asyik tersenyum je tadi. Awak ada lelaki lain ek? ”. Terjah Akmal kepadaku. Aku lihat dia melindung mukanya dari pancaran matahari dengan menggunakan tangannya. Panas sangat ke hari ni?

” Suka hati sayalah nak bergayut dengan siapa pun. Awak ada perempuan lain. Ingat saya tak boleh ada lelaki lain ke? ”. Malas aku nak bercakap benar dengannya. Dia boleh sakiti hatiku dulu, apa salahnya aku membalas dendam.

” Ish, awak ni. Janganlah curang. Kalau nak curang pun, cover-coverlah sikit. Janganlah bagi saya nampak. Pedih tau bila orang yang kita sayang curang dengan kita. Takpelah, selagi saya tak nampak lelaki itu, saya takkan anggap awak curang. Dah lah awak. Jom masuk kereta. Semangat je sembang tengah panas ni. Hitam lah saya nanti. Awak tu takpelah. Takde effect sangat kena panas pun! ” Akmal terus berjalan ke arah keretanya.

’ Argh, suka hati je dia perli aku!!!!! Mentang-mentanglah dia kulit cerah. Kurang ajar punya tunang! ’

Aku hanya membuntutinya dari belakang. Malas aku mahu berbalah dengannya hari ini, nanti berbakul dosa aku dapat akibat memaki hamun Akmal. Aku berjalan sambil menunduk.

’Panas juga hari ni. Jauh pulak Akmal parking kereta. Lain kali parkinglah dekat sedikit’. Bebelku dalam hati. Tiba-tiba, dung!!!

Aku terlanggar Akmal dari belakang.

’ Bila masa dia berhenti ni?’. Tanyaku dalam hati.

” Awak ni apasal berhenti tak bagi isyarat hah?? Lampu isyarat pun ada warna kuning suruh orang bersedia untuk berhenti tau tak? ”. Marahku terhadap Akmal.

” Sorry-sorry. Saya tengok awak diam macam khusyuk je duk tenung jalan bawah tu. Saya pun try lah tenung jugak. Tapi tak nampak apa pun. ” Akmal menjawab sambil tersengih-sengih.

” Argh, sengetlah awak ni! Malaslah nak layan. ” Aku terus melangkah laju ke kereta Akmal dan melangkah masuk apabila Akmal membukakan kunci.

Dalam kereta aku memerhati pakaian Akmal. Dia nampak segak berpakaian kemeja hijau dan seluar slack berwarna hitam.

” Hai, sedondon nampak kereta dengan baju awak. Bukannya tak minat hijau ke? ”. Tanyaku kepada Akmal.

” Dah lupa ke? Ni kan baju yang awak hadiahkan dulu. Saja je pakai. Kan saya sekarang tengah dalam proses nak memikat awak. Terpaksalah berkorban pakai warna pokok pisang ni”. Jawab Akmal.

Baru aku teringat. Aku pernah menghadiahkan baju itu kepadanya sebagai ucapan tahniah kerana dia mendapat anugerah dekan ketika semester akhirnya dahulu. Namun aku tidak pernah melihat dia memakainya kerana dia tidak suka akan warna hijau. Sanggup pula dia berkorban hari ini.

Kereta Akmal terus meluncur laju. Kami tiba di Tesco 20 minit kemudian.

---------------------------------------------------------------------------------------------






p/s: sorry lah, surprise untuk hari 12 Sep ni memakan 2 episod lah pulak. Tunggu sambungannya ye..