Sejurus selepas aku selesai membaca emel dari Akmal, telefonku berbunyi menandakan ada mesej. Terusku membacanya. Tiada nama pengirim yang tertera bererti pengirim itu bukanlah dari kalangan kenalanku.

+ Salam, Mrs Sudu. Bole sy call awk skarang ni x?

Mrs Sudu?? Macam kenal je! Huh! Tapi aku berpura-pura tidak mengenalinya.

- wslm, awk ni sape?

+ Im ur hero lah. Mr Sudu.

Malas aku nak melayannya malam ini. Biarlah dia fikir aku sudah tertidur. Selang 15 minit kemudian, ada panggilan masuk. Mr sudu? Dengan suara yang kubuat-buat serak agar dia fikir aku sudah tertidur, ku menjawab panggilan.


” Hello, siapa ni? ”

” Ni tunang awak lah”

” Tunang? Yang mana satu? ”. Sengaja aku bergurau dengan niat untuk menyakitkan hatinya.

” Wah, banyaknya tunang awak! Erm, ni tunang awak yang paling hensem, paling awak sayang, paling awak susah nak lupa. Dah kenal ke belum? ”

Suaraku masih ku buat-buat serak. Terusku jawab, ” Argh, malas lah saya nak kenal”. Aku tiada tunang lain lagi ketika ini. Hanya dia sahaja tunangku. Eh, perempuan boleh bertunang ramai sekaligus ke?

” Kenapa awak lambat reply mesej saya tadi?”

” Emm, dah tertidur lah. Suara pun serak lagi ni.”

” Hehe, awak tak mampu menipu sayalah. Awak dah lupa ke siapa yang selalu duk kejutkan awak bangun subuh dulu-dulu? Tentulah saya dah cam suara awak sangat-sangat. ”

Ish, kalah lagi aku malam ni. Macam manalah aku boleh terlupa ye ? Semasa kami masih bercinta dulu sebelum sempatku bangun pagi dan sebelum sempatku tidur pasti dia akan menghubungiku. Katanya dia mahu menjadi orang pertama dan orang terakhir yang aku dengar suara setiap hari.

” Hurm, takdelah. Saya tengah duk bilang cicak tadi. Tu yang lambat reply mesej awak. ”
Hanya itu sahaja alasan yang terkeluar dari mulutku ketika ini.

” Hahahaha! Bilang cicak?? Dari dulu lagi awak selalu bagi alasan yang pelik-pelik kalau lambat reply mesej. Duk bilang cicak lah, tunggu semut melintas lah, kucing awak nak beranak lah, macam-macam lagilah binatang yang keluar. Kadang-kadang saya terfikir juga, rumah awak tu rumah orang ke zoo? ”

” Oit! Sempat lagi awak perli saya eh? Suka hati lah saya nak bagi alasan apa pun. Awak call ni kenapa? ”

” Haa, lupa pulak. Sembang dengan awak ni selalu buat saya terlupa niat sebenar call awak. Emm, dah baca emel saya tadi? ”

” Saya tak sempat nak check emel hari ni. Kenapa? ”. Sengaja aku malas nak mengakuinya. Nanti tak mustahil dia akan membuat aku terharu lagi.

” Takpelah, nanti awak jangan lupa cek ye. Ada surprise special untuk awak. Awak, jom kita keluar nak tak esok? Dah 2 tahun kita tak keluar sekali. Nanti bila dah kahwin awak asyik nak berkepit dalam rumah je. Bila lagi kita nak keluar macam tu. ” jawab Akmal sambil sedikit tergelak.

” Eh, tolong sikit. Saya tak ingin pun nak berkepit awak”. Perasannya lelaki ini!

” Nak tolong apa sayang? Abang sanggup buat apa pun untuk sayang. Ala, bolehlah awak. Kita keluar esok. Saya rindu awak sangat tau”. Suara Akmal sedikit merayu.

” Dah call ni takkan tak lepas-lepas lagi rindu awak tu? ”. Aku sudah mula berasa rimas dengan sikap mengada-ngadanya.

” Tak. Tak puas. Tak boleh tengok awak. Saya suka tengok bibir awak bila awak membebel. Cute sangat, macam hamster. ” Jawab Akmal. Dia ni saja je nak membuai perasaanku.

Dulu dia pernah menyarankan agar aku memakai mask apabila keluar bersama agar tiada sesiapa pun dapat melihat kecomelan bibirku selain dia. Kuat cemburu sungguh dia. Dulu dan kini! Huh!

“ Saya tak bolehlah nak keluar dengan awak. Nisa ajak saya tengok wayang esok. “. Jawabku. Akal menipuku menjelma kembali. Nisa sebenarnya merancang untuk bermain bowling bersama Aidil esok.

“ Emm, awak nak tau 1 rahsia tak? Saya awal-awal lagi dah cek jadual awak dekat Nisa. Nisa pun dah siap cakap nak keluar dengan Aidil. Dah! Alasan ni tak diterima. Next reason please. “. Akmal menjawab sambil memperliku.

Kenapa aku selalu je terkantoi dengan dia? Haa, ada satu lagi alasan kuat yang dia mesti tak dapat nak tolak.

” Okey, takpe. Kita keluar esok. Tapi dengan syarat, kita keluar naik scooter Nisa. Saya yang bawak.” Aku menjawab. Akmal seorang yang sangat mementingkan keselamatan. Keluar dengan motorsikal adalah sesuatu yang Akmal mahu elakkan. Tambahan pula, aku baru sahaja memiliki lesen P. Mesti dia tak jadi nak keluar esok.

” Naik scooter? Awak bawak? Awak bukannya takde lesen ke? ”. Jawab Akmal dengan riak terkejut.

” Jangan risaulah, saya baru je dapat Lesen P minggu lepas.” Jawabku. Aku yakin 80% kemenangan di pihakku.

” Ala, biarlah saya yang bawak awak. Awak tu bukannya cekap sangat. Kaki pun tak berapa nak sampai ! ”. Akmal sempat memperli aku. Namun suaranya ku dengar sedikit risau. Mungkin memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku jikalau aku membawa motor.

” Kurang asam betullah awak ni! Awak nak keluar ke tak ni? .” Sesuka hati je dia memperli aku. Kali ini ku yakin 100% dia tak jadi nak keluar esok.

” Okey, kita keluar. Awak cuti kan esok? Saya datang rumah awak pukul 9 pagi ye. Kita breakfast sekali. Bye, assalamualaikum. Good nite.”. terus dia meletakkan panggilan. Mungkin tidak mahu mendengar aku memberi alasan seterusnya.

Huh, Akmal setuju? Sejak bila dia tidak menghiraukan prinsip keselamatannya itu?.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------


Teringat aku akan kenangan lalu. Sewaktu itu, kami bersiar-siar di taman berdekatan rumah sewanya. Aku merengek-rengek mahu belajar menunggang motorsikal. Mungkin kerana kasihan melihat semangat aku yang berkobar-kobar ini dia setuju untuk mengajarku.

” Mula-mula, awak kena belajar start motor ni..” Akmal terus menongkat dua motornya dan menyuruh aku naik ke atas motorsikalnya. Tiba-tiba aku terdengar dia ketawa berdekah-dekah. Hairan aku melihatnya, menyesal pulak aku keluar dengannya di waktu senja-senja ni. Akmal ketawa lagi sampai terduduk di atas rumput.

” Hoi! Awak ni kenapa haa? Dah kena sampuk ke senja-senja ni??”. Geram pula aku melihatnya. Namun dia tetap meneruskan ketawanya. 5 minit kemudian barulah dia berhenti.

” Sorry-sorry, saya tak tahan tengok awak naik motor ni. Dahlah kaki tak sampai nak pijak tanah hinggakan terpaksa terjengket-jengket. Sungguh! Saya tak sangka awek saya sependek ini! Hahaha!! ”. Akmal meneruskan ketawanya kembali. Aku terus mencubit lengannya.

”Aduh, sakitnya! Awak ni sebijik macam ketam. Dah lah jalan pun lebey kurang”. Akmal pantas menggosok lengannya.

Oh, kata aku macam ketam ye. Aku terus mencubit lengannya sekali lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Padan muka!

” Ouch!! Awak nak bagi lebam tangan saya balik ke? Okey, saya tak cakap apa-apa dah. Sekarang saya nak tengok awak start motor ni. ” Arah Akmal sambil menuju ke beg sandangku dan membawa keluar buku nota kecilku dan mencatat sesuatu. Buku nota itu memang sentiasa aku bawa ke mana-mana kerana mungkin aku memerlukannya untuk mencatat sesuatu.

Aku cuba untuk menghidupkan enjin. Namun, gagal! Aku tidak dapat menghidupkan enjin walaupun sudah berbelas kali aku mencuba. Aku mencuba hidupkan enjin kembali sambil menjeling ke arah apa yang ditulis oleh Akmal. Namun aku tidak mampu lihat kerana Akmal menyembunyikannya dari aku.

Akmal pergi ke arah motorsikalnya dan membelek di bahagian kunci. ” Hah, pulas kunci pun tak habis. Macam mana awak nak start motor macam ni? ”. Akmal terus memulas kuncinya sambil senyum mengejek kearahku. Selepas itu, dia menyalin sesuatu di buku notaku.

” Argh!! Kenapa awak tak cakap dari tadi?? Tak boleh ambil tuisyen lah dengan awak ni. Cikgu yang teruk! Kedekut ilmu! ”. Aku luahkan geramku terhadap Akmal.

” Cakap banyak lah awak ni! ”. Jawab Akmal sambil menulis lagi di atas buku kecilku itu. Akmal menghidupkan enjinnya. Nyata dia mencuba hanya sekali sahaja. Ah, nasib saja tu.

” Sekarang saya nak awak naik atas motor ni. Try main gear pulak. ” jawab Akmal. Aku terus mengikut arahannya.

“ Motor ni tengah free gear. Kalau awak nak naikkan gear, kaki kiri awak ni kena tekan ke depan. Kalau nak turunkan gear, tekan ke belakang. Sekarang awak cuba masuk gear 2. ” Akmal menyuruhku.

Aku terus memasukkan ke gear 2.

” Haa, pandai! Awek sapa la ni ? Sekarang masukkan ke free gear semula. ”. Aku terus menunduk mencari tempat menekan gear di bawah tapak kaki kiriku. Lantas kutekan 2 kali. Ketika itu Akmal kembali mencatat di bukuku.

Akmal menurunkan motor dan menyuruh aku cuba membawanya ke sekeliling taman. Aku cuba membawa dengan Akmal turut menunggang di belakangku. Aku membawa perlahan-lahan motor tersebut.

” awak, saya dah berjaya bawa motorlah! ” aku menjerit sambil menoleh kearahnya. Tiba-tiba... Gedebush!! Kami sama-sama tergolek di atas rumput. Mujurlah tidak ada kecederaan yang teruk. Sekadar calar-calar sahaja. Rupa-rupanya ada bonggol di hadapan ketika aku menoleh ke arah Akmal tadi.

Akmal terus bangun mengangkat motornya dan menjegil mata ke arahku. Mampus aku kali ni! Mesti dia tak bagi aku naik dah motor.

” Kan saya dah cakap, awak tu takkan reti punya bawak motor. Selamat tak cedera teruk tau. Dah jom kita balik. Susahlah kalau dah sayang, nak marah pun dah tak reti. ”. Akmal terus mengajakku pulang.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

11 September 2009

Tepat pukul 9 pagi, Akmal tiba di rumahku dan terus memarkirkan keretanya di dalam garaj. Aku terus mengunci pintu rumahku dan mengusung keluar scooter Nisa. Mujurlah Nisa membenarkan aku meminjamnya. Aku memakai helmet dan menghulurkan helmet Nisa kepadanya.

Terbeliak mata Akmal memandangku. ”Pink??? Awak nak suruh saya pakai helmet ni?? Janganla awak. Dah lah scooter warna pink jugak. Hantu pink betullah Nisa ni.! Awak, tukarlah helmet dengan yang ni. Tak macho lah pakai pink ni.”.

” Tak boleh! Saya tak selesa lah pakai helmet orang lain. Awak juga pernah cakap dulu, keselesaan adalah ciri-ciri keselamatan yang penting kan? ”. Jawabku. Sebenarnya tidaklah ada kesan sangat pun kalau aku memakai helmet Nisa tapi sengaja aku mahu mengenakannya hari ni.

” Yelah-yelah, jomlah kita pergi. Awak ingat lagi tak taman dekat rumah sewa saya dulu. Kita pergi ke makan kat situ jela. Awak yakin ke awak boleh bawak motor? ”. Tanya Akmal sambil menyarungkan helmet ke atas kepalanya.

” wah, nampak ayu lah awak! ”. Perliku apabila melihat dia memakai helmet pink itu. Malas aku nak menjawab pertanyaannya. Ingat aku macam dulu lagi ke?

” Tak payah lah awak puji. Lelaki mana yang pakai helmet ni pun mesti nampak ayu punya. ” jawab Akmal berbaur merajuk.

” Padan muka! Lain kali keluar dengan saya lagi ye.” Aku terus menghidupkan enjin scooter Nisa.

Aku terdengar Akmal berkata, ” Emm, bagus! Ada peningkatan!.” Dia terus membonceng di belakangku. Aku masih ingat dengan jelas jalan ke rumahnya. Entah mengapa aku tidak mampu membuang ingatan terhadapnya langsung.

Aku memulakan perjalanan. Tiba-tiba Akmal meletakkan tangannya dipinggang ku. Aku menampar tangannya. Terus dia menarik tangannya kembali. Tidak lama kemudian dia meletak kembali tangannnya namun bukan di pinggang, tetapi di bahu. Aku mencubit tangannya.

” Habis tu saya nak pegang kat mana? Gayat lah duk macam ni! ” Akmal berkata sambil sedikit terjerit agar aku mendengar suaranya dengan jelas.

” mengadalah awak ni, nak gayat pulak! Awak jangan sentuh saya ye, kalau tak saya tinggalkan awak kat tengah jalan ni. ” ugutku kepada Akmal.

Akmal terus terdiam, mungkin berasa takut dengan ugutanku. Selang 5 minit kemudian, tiba-tiba aku berasa kepalaku sedikit berat. Rupa-rupanya Akmal sedang memeluk helmetku!

Terusku memberhentikan scooter di tepi jalan dan mematikan enjin. Aku menoleh ke arah Akmal dan berkata, ” Awak ni dah gila ke apa? Kenapa awak peluk helmet saya hah?! Senget kepala saya tau tak? ”.

Akmal mula tersengih-sengih sambil menjawab, ” Dah awak tak bagi saya sentuh awak, saya pegang lah helmet awak. Ada saya sentuh awak? Takde kan?. ”

” Awak ni bila nak jadi matang sikit ek? Penat lah saya nak melayan kerenah awak ni. Cuba awak toleh belakang sekejap.”

Akmal terus menoleh ke belakang.

” Awak ada nampak pemegang tak kat belakang seat tu?”

” Ada, kenapa”. Tanya Akmal.

” Hah, pegang yang tu lah SUDU!! Nama je engineer fizik tapi benda simple macam ni pun saya nak kena ajar ke? ”. Aku terus menghidupkan semula enjin. Gilalah dia ni. Tak pernah aku jumpa pembonceng pegang helmet orang depan!

Aku meneruskan perjalanan. Sepatutnya 15 minit je ke kawasan perumahan Akmal namun mungkin kerana aku membawa sedikit perlahan, ia memakan sedikit masa.

Setibanya di lampu isyarat, aku terdengar penunggang motosikal di sebelahku berkata, ”Bawak awek keluar jalan ye adik? ”. Tanya lelaki itu kepadaku sambil menunjuk ke arah Akmal yang berada di belakangku.

Awek? Mungkin kerana helmet pink yang dipakai Akmal. Aku tidak menghiraukan lelaki itu sambil meneruskan perjalanan apabila lampu hijau.

Rasa pelik bermukim di hati kerana Akmal diam sahaja ketika itu. Mustahillah dia tidak berasa marah mendengarnya. Tiba-tiba Akmal menyandarkan kepalanya di atas bahuku.

” Awak ni nak kena eh? Kacau bahu orang pulak ni !”. Marahku namun tidak ku tolak kepalanya dari terus bersandar. Tiada sedikit respons pun dari Akmal. Rasa hairan aku terhadap Akmal. Aku terus berhenti memandangkan sudah tiba di taman di rumahnya.

Aku menjeling ke arah Akmal yang masih bersandar di bahuku. Tidur??? Aku terus menolaknya ke tepi.

Akmal kulihat terpisat-pisat seolah-olah baru tersedar dari tidur.

” Awak tidur?? Atas motor?! ”. Terusku mentertawakan Akmal yang kelihatan terpinga-pinga. Tak pernah aku tergelakkan orang sebegini rupa. Namun Akmal berjaya membuatku ketawa sebegini. Dekat 5 minit jugaklah aku mentertawakannya. Akmal hanya mampu tersenyum. Malukah dia?

” Sudah-sudahlah tu awak. Kang putus urat perut tu kang. Dah lama saya tak tengok awak ketawa macam ni ye. Dahlah awak, jom kita pergi makan. ”

Kami berjalan ke gerai yang terletak di situ. Aku masih lagi ketawa. Tak sangka ada orang lagi teruk dari aku. Rasanya aku tidaklah teruk sangat kalau setakat tertidur dalam bas tapi dia? Hahaha!

Kami makan nasi lemak dan teh tarik. Selesai makan Akmal mengajakku bersiar-siar di taman. Aku seakan teringat sesuatu kejadian apabila aku melewati tempat tersebut. Ha! Disinilah aku belajar menunggang motor dahulu!

Akmal terus menuju ke sebatang pokok berdekatan kerusi rehat di situ. Dia mula mengorek-ngorek tanah di situ dengan menggunakan ranting kayu yang bersepah di situ.
Hairan aku melihatnya.

”Awak ni kenapa? Kerja anjing polis pun awak nak curi ke? ” tanyaku kepadanya. Manalah tahu dia sedang menjalankan penyiasatan.

” awak ni diamlah. Awak duduk je dekat kerusi ni ”. Akmal menarik tanganku kearah kerusi dan meneruskan kembali kerja mengoreknya. Semakin lama semakin dalam Akmal mengorek. Tiba-tiba dia menarik keluar bungkusan plastik hitam. Dia ni simpan benda tak betul dalam tanah ke?

” Eh, apa tu? Awak simpan ke?”. tanyaku kepada Akmal.

” Nah, ni awak punya lah. Tapi saya nak awak buka di rumah bukan di sini. ”

Hairan aku melihat bungkusan tersebut. Namun ku ambil juga dari tangannya.

” Ada apa dalam ni ? Tak nak lah saya, syirik! ”. Aku terus memulangkan barang tersebut kepada Akmal.

” Haish! Ada pulak ke situ awak ni! Nanti bila awak buka awak tahulah. Dahlah jomlah kita balik. Mesti dalam hati awak tu excited gila nak tengok benda tu. Buat-buat tak nak pulak. Hah, kali ni biar saya bawak pula ye. Kang berdengkur pulak saya di atas jalan raya tu.”

Tersenyum aku mendengar gurauannya. Kami bertolak pulang ke rumahku. Usai tiba di rumahku, Akmal terus mendapatkan keretanya dan bertolak pulang. Sebelum pulang, sempat dia berkata, ” Kalau tak berani, janganlah buka bungkusan tu. Nisa pun takde kat rumah. Tinggal awak sorang je tau. ”

” Awak jangan nak takutkan saya! Awak bagi apa ni ha?? ”

” Bye, sayang. Abang balik dulu ye. “ kereta Myvi Akmal terus meluncur laju.

Entah apa agaknya yang dia bagi. Aku goncang-goncangkan bungkusan tersebut. Macam kotak je ni. Namun aku tak berani membukanya. Biarlah Nisa pulang dahulu. Sepanjang hari itu, aku hanya mampu melihat bungkusan tersebut. Hinggalah tiba waktu malam,aku menerima emel dari Akmal.

’ Hai sayang, duk buat apa tu?

Dah tengok ke apa yang saya bagi tadi ? Mesti belum kan ? Tunggu Nisa balik dulu ye ? Macamlah saya tak tahu perangai penakut awak tu !

Hurm, hari ni saya takde idealah nak mengorat awak. Mungkin saham saya waktu semalam lagi tinggi kot.

Awak, dah lama saya tak tengok awak ketawa macam tadi tau. Awak nampak happy sangat tadi. Tapi saya harap kalau saya bagitahu hal sebenar, awak jangan marah ye?

Sebenarnya, saya bukan tidur pun waktu membonceng dengan awak tadi. Saya buat-buat tertidur je. Yelah, malu tau dengar mamat kat traffic light tu cakap. Dahlah pakai helmet pink, scooter pink, perempuan yang bawak pulak tu! Malulah saya.

Saya lagi sanggup awak gelakkan saya sampai terguling-guling sebab ingat saya tertidur dari orang lain yang gelakkan saya. Tapi takpelah, asalkan awak happy. Takdelah asyik masam je muka tu bila jumpa saya.

Hurm, pasal barang tu sebenarnya tu barang awak. Sebenarnya sewaktu kita sama-sama jatuh motor tu, saya rasa menyesal sangat benarkan awak belajar. Selamat awak takde cedera apa-apa. Sebab itu jugaklah saya simpan barang tadi dalam tanah di situ, dan berjanji akan pulangkan kepada awak apabila awak dah berjaya buktikan awak mampu bawak motor. Saya tak bagi awak tengok benda tu pada masa dulu pun kerana ada tips yang saya tinggalkan untuk awak. Biasalah, saya kan kedekut ilmu!.

Rasanya awak dah dapat teka kot barang apa yang saya beri tadi. Jangan risau, bukan benda yang menakutkan lah.

Okeylah, saya nak tidur dulu. Nanti esok saya call awak ye. Dan macam biasa, jangan rasa terharu pulak ye. Hehehehe’

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku terus membuka bungkusan plastik yang Akmal beri tadi. Ada kotak di dalamnya dan sebuah buku nota kecil terjatuh dari dalam kotak tersebut. Buku aku?? Dah lama aku tak tengok buku ini sejak hari itu hinggakan aku sangka sudah hilang. Patutlah selepas pulang dari menghantarku hari itu, dia terus tergesa-gesa ke satu tempat. Ada hal penting katanya.

Ku selak hingga ke helaian memuatkan tulisannya.

Komen dari Cikgu Akmal.

1. Melawan cakap cikgu! Cikgu gurau cakap dia macam ketam pun nak marah.

2. Terlampau gelojoh nak belajar, sampai kunci pun pulas tak betul.

3. Masuk gear pun teragak-agak. Kalau nanti kat tengah jalan, confirm gelabah biawak!

p/s dari Cikgu : Sebenarnya senang je nak bawak motor ni. Bila awak teringatkan saya yang selalu duk ejek awak tak reti bawak motor ni, tentu awak akan boleh punya bawak motor. Betul tak?


Arghh, macam mana dia tahu?? Sememangnya dengan cara teringat akan kutukan Akmal lah yang membolehkan aku mampu menunggang motor hingga berjaya memperoleh Lesen P. Akmal! Aku terharu lagi!