“ Mak, abang pos dah sampai ke hari ni? “. Dengan semangat aku melangkah menuju ke arah emak yang sedang sibuk memotong bawang. Sepinggan sayur dan ayam mentah turut berada di atas meja makan tersebut. Mungkin emak mahu menggoreng nasi sebagai sarapan pada pagi ini.

“ Mak tak dengar pun bunyi motor dia. Pergilah tengok dekat pagar tu. “.

Aku beredar menuju ke ruang tamu rumah lalu menjalankan operasi menghendap encik abang pos. Malahan operasi ini sudah menjadi sebahagian daripada rutin harianku. Terasa malu pula untuk terus menunggu di depan pagar rumah. Kain langsir pantas diselak dan mula mencari-cari kelibat abang pos di sebalik tingkap bilik Abam memandangkan biliknya terletak paling hujung di depan.

Lambat lah dia hari ni. Selalunya waktu macam ni dah sampai dah. Makan gaji buta ke abang ni? Hatiku mula tertanya-tanya.

Tidak lama kemudian terdengar ngauman ekzos motosikal Honda Ex5 milik encik abang pos. Orang yang ditunggu sudah tiba. Usai sahaja dia meletakkan surat dan beredar dari situ, aku berlari menuju ke pagar. Sekejap sahaja kakiku tiba di situ. Mungkin terlampau semangat berlari sebentar tadi. Dari jauh kedengaran abang pos memicit hon.

Apakah dia menyedari yang dia sedang dihendap tadi? Wahai Farah Elina, anda sudah gagal untuk bergelar agen FBI yang berjaya. Lagi sekali hatiku membebel. Haish.

Aku membelek kepingan sampul surat yang diselitkan di peti pos. Ternyata sekeping surat berwarna koko bersaiz A4 amat menarik perhatianku. Aku terus melompat apabila melihat nama aku tertera di situ. Aku mula menyelak sedikit kain batik yang sudah menjadi pakaian formalku di rumah, dan bersedia untuk memecutkan diri. Terbayang wajah gembira ibuku. Namun tanpa sempat aku membayangkan reaksi emak, aku sudah tiba di hadapannya.

“ Kenapa dengan kakak ni? Tak puas hati lagi ke kalah bermain aci ligan dengan along sampai nak praktis tak habis-habis ni? “. Emak menoleh ke arahku lalu menyambung tugasnya mengupas kulit bawang tadi.

Aku menggaru-garu kepala. Aci ligan?? Bukankah sungguh tidak logik berkejar-kejaran berseorangan tanpa ada yang mengikut? Mak.. Mak.. Desis hatiku.

Sambil tersenyum-senyum memandang emak, aku menunjukkan sampul surat tadi.

“ Tak payah tunjuk. Mak tahu dah ni surat kakak dapat masuk universiti kan? “.

“ Ala, mak ni. Tahu je dia. Kakak nak bagi suspens sikit pun tak boleh.”

Aku mengoyak bahagian atas sampul berkenaan dan mula membaca sekuat hati intipati surat tersebut. Perasaan teruja memang agak jelas terzahir dengan suaraku ketika ini.

“ Tahniah. Dengan sukacitanya dinyatakan bahawa saudari telah terpilih untuk menjadi salah seorang mahasiswa/i di univer… Eh jap. Mak. Kalau mahasiswa/i ni nak sebut macam mana? Mahasiswai ke? “ . Aku bertanya kepada emak yang sedang kusyuk mendengar setiap bait ayatku tadi.

Dia hanya merenung mukaku lalu berkata, “ Sambung! “.

Aku hanya tersenyum di dalam hati. Nak bergurau pun tak boleh.

“ Menjadi salah seorang mahasiswai di Universiti Sains Malaysia. “